Assalamualaikum wbt.. sahabat-sahabat y dikasihi kerana Allah. Sultan Abdul Hamid II, lahir pada hari Rabu, 21
September 1842. Dengan nama lengkapnya, Abdul Hamid Khan II bin Abdul
Majid Khan. Sultan adalah putera Abdul Majid dari isteri kedua beliau.
Ibunya meninggal saat Abdul Hamid berusia 7 tahun. Sultan menguasai
bahasa Turki, Arab, dan Parsi. Gemar membaca dan bersyair.
Sebelumnya, kekhalifahan dipimpin bapa saudaranya iaitu Abdul Aziz yang
berkuasa cukup lama. Sultan Abdul Aziz digulingkan kemudian dibunuh oleh
musuh politik Khilafah Uthmaniyyah. Khalifah
setelah Abdul Aziz adalah Sultan Murad V, putera Abdul Aziz. Namun
kekuasaannya tidak berlangsung lama dan digulingkan setelah 93 hari
berkuasa kerana dianggap tidak upaya menjadi khalifah.
Sultan Abdul Aziz mewariskan negara dalam keadaan hiruk pikuk dan tidak
terurus. Tunggakkan hutang luar negeri, parlimen yang tidak berfungsi,
campur tangan asing di dalam negeri, tarik menarik antara pelbagai
kepentingan Dewan Negara dan Dewan Menteri serta para ahli politik yang
korup.
Pada 14 Ogos 1876 (1293 H), Sultan Abdul Hamid dibai'at sebagai
Khalifah. Saat itu usianya 34 tahun. Dia menyedari bahawa pembunuhan
bapa saudaranya serta perubahan-perubahan kekuasaan yang terjadi saat
itu merupakan konspirasi global melawan Khilafah Islamiyah. Namun Sultan
Abdul Hamid II dapat menjalankan pemerintahannya dengan baik, sering
berbicara dengan pelbagai lapisan masyarakat, baik kalangan ahli politik
, intelektual, rakyat jelata mahupun dari kelompok-kelompok yang
kurang disukainya (lihat Shaw, 1977:212).
Kebijaksanaannya mengurusi urusan seluruh kaum Muslimin membuatkan ia
semakin popular. Namanya sering disebut dalam doa-doa di setiap solat
Jumaat di seantero bumi. Sokongan padu kaum Muslimin dan kesetiaan
mereka terhadap Sultan Abdul Hamid II ini berhasil mengurangi tekanan
Eropah terhadap Utsmaniyyah.
Abdul Hamid mengembangkan amanah dengan memimpin sebuah kerajaan yang
luasnya membentang dari timur dan barat. Di tengah situasi negara yang
genting dan kritis. Beliau menghabiskan 30 tahun kekuasaannya sebagai
Khalifah dengan dikelilingi konspirasi, mehnah, fitnah dari dalam negeri
sementara dari luar negeri ada perang, revolusi, dan ancaman
globalisasi dan tuntutan pelbagai perubahan yang senantiasa terjadi.
Termasuk usaha jahat yang sistematik yang dilakukan kaum Yahudi untuk
mendapatkan tempat tinggal tetap di tanah Palestin yang masih menjadi
sebahagian dari wilayah kekhalifahan Utsmaniyyah. Pelbagai langkah dan
strategi dilancarkan oleh kaum Yahudi untuk menembus dinding khilafah
Utsmaniyyah, agar mereka dapat memasuki Palestin.
Pertama, pada tahun 1892, sekelompok Yahudi Rusia mengajukan permohonan
kepada Sultan Abdul Hamid, untuk mendapatkan keizinan tinggal di
Palestin. Permohonan itu dijawab Sultan dengan ucapan
"Pemerintan Ustmaniyyah memaklumkan kepada seluruh kaum Yahudi yang
ingin hijrah ke Turki, bahawa mereka tidak akan diizinkan menetap di
Palestin", mendengar jawaban seperti itu kaum Yahudi amat kecewa,
sehingga duta besar Amerika turut campur tangan.
Kedua, Theodor Hertzl, penulis Der Judenstaat (Negara Yahudi),
pengasas negara Israel sekarang, pada tahun 1896 memberanikan diri
menemui Sultan Abdul Hamid sambil meminta izin mendirikan perniagaan di
al Quds. Permohonan itu dijawab Sultan:
"Sesungguhnya jajahan Utsmani ini adalah milik rakyatnya. Mereka
tidak akan menyetujui permintaan itu. Sebab itu simpanlah kekayaan
kalian itu dalam kantung kalian sendiri".
Melihat keteguhan Sultan, mereka kemudian membuat strategi ketiga, iaitu
melakukan Konferensi Basel di Switzerland, pada 29-31 Ogos 1897 dalam
rangka merumuskan strategi baru menghancurkan Khilafah Ustmaniyyah.
Oleh kerana peranan dan aktiviti Yahudi Zionis yang terlalu mendesak dan
semakin menjadi-jadi, akhirnya Sultan pada tahun 1900 mengeluarkan
keputusan pelarangan atas rombongan penziarah Yahudi di Palestin untuk
tinggal di sana lebih dari tiga bulan, pasport Yahudi harus diserahkan
kepada petugas khilafah yang berkaitan. Dan pada tahun 1901 Sultan
mengeluarkan keputusan mengharamkan penjualan tanah kepada Yahudi di
Palestin.
Pada tahun 1902, Hertzl untuk kesekian kalinya mengadap Sultan Abdul
Hamid untuk melakukan penyogokan (rasuah). Di antara sogokkan yang
Hertzl tawarkan kepada Sultan adalah :
1. 150 juta poundsterling Inggeris khusus untuk Sultan.
2. Membayar semua hutang pemerintah Ustmaniyyah yang mencapai 33 juta
poundsterling Inggeris.
3. Membangun kapal induk untuk pemerintah, dengan biaya 120 juta Frank
4. Memberi pinjaman 5 juta poundsterling tanpa bunga.
5. Membangunkan Universiti Ustmaniyyah di Palestin.
Semuanya ditolak Sultan, bahkan Sultan tidak mahu menemui Hertzl,
diwakilkan kepada Tahsin Basya, Perdana Menterinya, sambil menberikan
pesanan, "Nasihati Mr Hertzl agar jangan meneruskan rancangnya. Aku
tidak akan melepaskan walaupun sejengkal tanah ini (Palestin), kerana ia
bukan milikku. Tanah itu adalah hak umat Islam. Umat Islam telah
berjihad demi kepentingan tanah ini dan mereka telah menyiraminya dengan
darah mereka. Yahudi silakan menyimpan harta mereka. Jika Khilafah
Utsmaniyah dimusnahkan pada suatu hari, maka mereka boleh mengambil
Palestin tanpa membayar harganya. Akan tetapi, sementara aku masih
hidup, aku lebih rela menusukkan pedang ke tubuhku daripada melihat
Tanah Palestin dikhianati dan dipisahkan dari Khilafah Islamiyah.
Perpisahan adalah sesuatu yang tidak akan terjadi. Aku tidak akan
memulai pemisahan tubuh kami selagi kami masih hidup."
Sejak saat itu kaum Yahudi dengan Zionisme melancarkan gerakan untuk
menumbangkan Sultan. Dengan menggunakan pelbagai kempen dan istilah
seperti "liberation", "freedom", dan sebagainya, mereka menyebut
pemerintahan Abdul Hamid II sebagai "Hamidian Absolutism", dan
sebagainya.
"Sesungguhnya aku tahu, bahawa nasibku semakin terancam. Boleh saja aku
berhijrah ke Eropah untuk menyelamatkan diri. Tetapi untuk apa? Aku
adalah Khalifah yang bertanggungjawab atas umat ini. Tempatku adalah di
sini. Di Istanbul!"Tulis Sultan Abdul Hamid dalam catatan hariannya.
Pada malam 27 April 1909, Sultan Abdul Hamid dan keluarganya didatangi
beberapa orang tamu yang tidak di undang. Kedatangan mereka ke Istana
Yildiz menjadi catatan sejarah yang tidak akan pernah dilupakan. Mereka
datang atas nama perwakilan 240 anggota Parlimen Utsmaniyyah-di bawah
tekanan dari Turki Muda-yang setuju penggulingan Abdul Hamid II dari
kekuasaannya. Senator Sheikh Hamdi Afandi Mali mengeluarkan fatwa
tentang penggulingan tersebut, dan akhirnya dipersetujui oleh anggota
senat yang lain. Fatwa tersebut didapati sangat aneh dan setiap orang
pasti mengetahui track record perjuangan Abdul Hamid II bahawa
fatwa tersebut bertentangan dengan realiti sebenar yang berlaku di Turki
dan empayar kerajaan Islam.
Keempat utusan itu adalah Emmanuel Carasso, seorang Yahudi warga Itali
dan wakil rakyat Salonika (Thessaloniki) di Parlimen Utsmaniyyah
(Meclis-i Mebusan) melangkah masuk ke istana Yildiz. Turut bersamanya
adalah Aram Efendi, wakil rakyat Armenia, Laz Arif Hikmet Pasha, anggota
Dewan Senat yang juga panglima Ketenteraan Utsmaniyyah, serta Arnavut
Esat Toptani, wakil rakyat daerah Daraj di Meclis-i Mebusan.
"Bukankah pada waktu seperti ini adalah masa di mana aku harus
menunaikan kewajibanku terhadap keluargaku. Tidak bolehkah kalian
bicarakan masalah ini esok pagi?" Sultan Abdul Hamid tidak selesa
menerima kedatangan mereka yang kelihatannya begitu tiba-tiba dan
mendesak. Tidak ada simpati di raut wajah mereka.
"Negara telah memecat Anda!" Esat Pasha memberitahu kedatangannya dengan
nada angkuh. Kemudian satu persatu wajah anggota rombongan itu
diperhatikan dengan saksama oleh Sultan.
"Negara telah memecatku, itu tidak ada masalah,.... tetapi kenapa kalian
membawa serta Yahudi ini masuk ke tempatku?" Spontan Sultan murka yang
amat sangat sambil menudingkan jarinya kepada Emmanuel Carasso.
Sultan Abdul Hamid memang kenal benar siapa Emmanuel Carasso itu. Dialah
yang bersekongkol bersama Theodor Herzl ketika ingin mendapatkan
keizinan menempatkan Yahudi di Palestin. Mereka menawarkan pembelian
ladang milik Sultan Abdul Hamid di Sancak Palestin sebagai tempat
pemukiman Yahudi di Tanah Suci itu. Sultan Abdul Hamid menolaknya dengan
tegas, termasuk alternatif mereka yang mahu menyewa tanah itu selama 99
tahun.
Pendirian tegas Sultan Abdul Hamid untuk tidak mengizinkan Yahudi
bermukim di Palestin, telah menyebabkan Yahudi sedunia mengamuk.
Harganya terlalu mahal. Sultan Abdul Hamid kehilangan takhta, dan
Khilafah disembelih agar tamat riwayatnya.
Jelas terlihat bahawa saat tersebut adalah saat pembalasan paling
dinanti oleh Yahudi, di mana Abdul Hamid II yang telah menolak menjual
Palestin pada mereka, telah mereka tunjukkan di depan muka Abdul Hamid
II sendiri bahawa mereka turut serta dalam penggulingannya dari
kekuasaan. Mendung menyeluputi wajah Abdul Hamid II dan wajah Khilafah
Islamiyah.
"Sesungguhnya aku sendiri tidak tahu, siapakah sebenarnya yang memilih
mereka ini untuk menyampaikan berita penggulinganku malam itu." Sultan
Abdul Hamid meluapkan derita hatinya di dalam catatan hariannya.
Perancangan menggulingkan Sultan sebenarnya sudah dilaksanakan lama
sebelum malam itu. Beberapa Jumaat belakangan sebelum peristiwa hitam
itu, nama Sultan sudah tidak disebut lagi di dalam khutbah-khutbah.
"Walaupun anda dipecat, kelangsungan hidup anda berada dalam jaminan
kami." Esat Pasha menyambung pembicaraan.
Sultan Abdul Hamid memandang wajah puteranya Abdul Rahim, serta
puterinya yang terpaksa menyaksikan pengkhianatan terhadap dirinya.
Malang sungguh anak-anak ini terpaksa menyaksikan kejadian yang
memilukan malam itu.
"Bawa adik-adikmu ke dalam." Sultan Abdul Hamid menyuruhh Amir Abdul
Rahim membawa adik-adiknya ke dalam kamar.
"Aku tidak membantah keputusanmu. Cuma satu hal yang kuharapkan.
Izinkanlah aku bersama keluargaku tinggal di istana Caragan. Anak-anakku
ramai. Mereka masih kecil dan aku sebagai ayah perlu menyekolahkan
mereka." Sultan Abdul Hamid meminta pertimbangan. Sultan sedar akan
tidak ada gunanya membantah keputusan yang dibawa rombongan itu. Itulah
kerisauan terakhir Sultan Abdul Hamid. Membayangkan masa depan
anak-anaknya yang ramai. Sembilan lelaki dan tujuh perempuan.
Permintaan Sultan Abdul Hamid ditolak mentah-mentah oleh keempat orang
itu. Malam itu juga, Sultan bersama para anggota keluarganya dengan
hanya mengenakan pakaian yang yang di pakai pada malam tersebut di
angkut di tengah gelap gelita menuju ke stesyen kereta api Sirkeci.
Mereka diusir pergi meninggalkan bumi Khilafah, ke istana milik Yahudi
di Salonika, tempat pengasingan negara sebelum seluruh khalifah
dimusnahkan di tangan musuh Allah.
Khalifah terakhir umat Islam, dan keluarganya itu dibuang ke Salonika,
Yunani. Angin lesu bertiup bersama gerimis salju di malam itu.
Pohon-pohon yang tinggal rangka, seakan turut sedih mengiringi tragedi
memilukan itu.
Di Eminonu, terlihat Galata di seberang teluk sedih. Bukit itu pernah
menyaksikan kegemilangan Sultan Muhammad al-Fatih dan tenteranya yang
telah menarik 70 kapal menyeberangi bukit itu dalam tempoh satu malam.
Mereka menerobos teluk Bosphorus yang telah dirantai pintu masuknya oleh
Kaisar Constantinople. Sejarah itu sejarah gemilang. Tidak akan pernah
hilang.
Terhadap peristiwa pemecatannya, Sultan Abdul Hamid II mengungkap
kegundahan hatinya yang dituangkan dalam surat kepada salah seorang
gurunya Syekh Mahmud Abu Shamad yang berbunyi:
"...Saya meninggalkan kekhalifahan bukan kerana suatu sebab
tertentu, melainkan kerana tipu daya dengan pelbagai tekanan dan ancaman
dari para tokoh Organisasi Persatuan yang dikenal dengan sebutan
Cun Turk (Jeune Turk), sehingga dengan berat hati dan terpaksa saya
meninggalkan kekhalifahan itu. Sebelumnya, organisasi ini telah
mendesak saya berulang-ulang agar menyetujui dibentuknya sebuah negara
nasional bagi bangsa Yahudi di Palestin. Saya tetap tidak menyetujui
permohonan tersebut yang datang bertubi-tubi tanpa ada rasa
malu. Akhirnya mereka menjanjikan wang sebesar 150 juta pounsterling
emas.
Saya tetap dengan tegas menolak tawaran itu. Saya menjawab dengan
mengatakan, "Seandainya kalian membayar dengan seluruh isi bumi ini, aku
tidak akan menerima tawaran itu. Tiga puluh tahun lebih aku hidup
mengabdi kepada kaum Muslimin dan kepada Islam itu sendiri. Aku tidak
akan mencoreng lembaran sejarah Islam yang telah dirintis oleh nenek
moyangku, para Sultan dan Khalifah Uthmaniah. Sekali lagi aku tidak akan
menerima tawaran kalian."
Setelah mendengar dan mengetahui sikap dari jawaban saya itu, mereka
dengan kekuatan gerakan rahsianya memaksa saya meninggalkan
kekhalifahan, dan mengancam akan mengasingkan saya di Salonika. Maka terpaksa saya menerima keputusan itu daripada menyetujui permintaan mereka.
Saya banyak bersyukur kepada Allah, kerana saya menolak untuk
mencoreng Daulah Uthmaniah, dan dunia Islam pada umumnya dengan noda
abadi yang diakibatkan oleh berdirinya negeri Yahudi di tanah
Palestin. Biarlah semua berlalu. Saya tidak bosan-bosan mengulang rasa
syukur kepada Allah Ta'ala, yang telah menyelamatkan kita dari aib
besar itu.
Saya rasa cukup di sini apa yang perlu saya sampaikan dan sudilah
Anda dan segenap ikhwan menerima salam hormat saya. Guruku yang mulia.
mungkin sudah terlalu banyak yang saya sampaikan. Harapan saya, semoga
Anda beserta jama'ah yang anda dapat memaklumi semua itu.
Wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
22 September 1909
ttd
Pelayan Kaum Muslimin
(Abdul Hamid bin Abdul Majid)
Deru langkah tentara kedengaran melangkah menuju istana. Meriam
ditembakkan sebagai tanda Sultan Mehmed V dinobatkan menjadi penguasa
Utsmaniyyah. Rasmilah malam itu Sultan Mehmed V menjadi Khalifah ke 99
umat Islam sejak Abu Bakr al-Siddiq ra. Tetapi khalifah yang satu ini
sudah tidak memiliki kekuasaan apa-apa. Hanya boneka pengumpan yang
hanya akan mempercepatkan pemberontakan untuk pembubaran Khilafah
Utsmaniyyah.
"Entahlah, di saat hidup dan matiku tidak menentu, aku merasa begitu
tenang dan aman. Seperti sebuah gunung besar yang selama ini mengendap
di dadaku, ketika diangkat terasa lega!" keluh Sultan Abdul Hamid
Sultan Abdul Hamid mengusap kepala anaknya Abdul Rahim yang menangis
ketakutan. Anak-anaknya yang lain turut menangis. Perjalanan dari
Sirkeci Istanbul menuju ke Salonika Yunani penuh misteri.
"Sabarlah anak-anakku. Jika Allah mengkehendaki kematian bagi kita,
bukankah kematian itu kesudahan untuk semua." Sultan Abdul Hamid memberi
motivasi kepada seluruh kerabatnya saat keretapi sedang meluncur laju.
Bumi khilafah ditinggalkan di belakang. Sejarah kegemilangan 600 tahun
Bani Utsman, berakhir malam itu. Balutan hitam yang mustahil untuk
diputihkan kembali.
Di tengah suasana malam yang sejuk, Sultan Abdul Hamid II melunjurkan
kakinya di atas bangku kereta api sambil dipicit-picit oleh anaknya
Fatimah.
"Sabarlah anakku, negara tidak tahu apa yang telah mereka lakukan kepada
umat Muhammad ini." Sultan mengusap wajahnya yang berlinangan air mata.
Terlalu lama Sultan dan keluarganya dikurung di istana milik Yahudi itu.
Mereka dikurung dalam kamar tanpa perabotan sama sekali. Pintu dan
jendela dilarang dibuka. Hari demi hari, adalah penantian kematian
sebelum mati bagi Sultan dan keluarganya. Akhirnya pada tahun 1912,
Sultan Abdul Hamid dihantar pulang ke Istanbul, akan tetapi anak-anaknya
dipisah-pisahkan, bercerai berai. Dibuang ke Perancis menjadi pengemis
yang hidup meminta-minta di lorong jalan.
Keadaan semasa di pembuangan Salonika atau di istana tua Beylerbeyi
Istanbul sama saja bahkan lebih parah. Sultan dan beberapa anggota
keluarganya yang masih tinggal tidak dibenarkan keluar sama sekali hatta
sekadar pergi ke perkarangan istana kecuali untuk solat Jumaat di luar
istana, tentunya dengan penjagaan yang amat ketat. Makanan untuk Sultan
dan putera puterinya disukat sedemikian rupa, dengan kualiti makanan
yang sangat rendah bahkan seluruh hartanya dirampas habis oleh tentera
Ataturk.
Hari-hari yang dilalui Sultan dalam pembuangan dan pengasingan sangat
menyedihkan. Dia dan keluarganya selalu diancam akan dibunuh, istana tua
itu akan diledakkan. Pada suatu pagi selesai solat Subuh, Sultan
memanggil puteranya, Abdul Rahman. Dialah ahli waris terpenting setelah
ketiadaan Sultan nanti.
"Kita akan berikan semua harta kita kepada pihak tentera kerana mereka
memaksa kita menyerahkannya." Keluh Sultan kepada Abdul Rahman dengan
nada sedih.
Puteranya itu menangis teresak hebat. Dia menjadi amat takut dengan para
tentera yang bengis itu. Beberapa hari kemudian di lobi Deutche Bank,
Istanbul, terjadi peristiwa penyerahan secara paksa semua harta Sultan,
termasuk seluruh tabungan Sultan kepada pihak tentera.
Sultan tinggal di istana tua sebagai penjara di Beylerbeyi selama 6
tahun dalam situasi yang sangat mengaibkan. Tubuh kurus kering dan
mengidap penyakit paru-paru yang semakin parah. Sultan benar-benar
dikuarantinkan dari dunia luar, sehinggakan untuk mengubati penyakit
disukarkan oleh pihak tentera.
"Maafkan saya, Tuanku. Mereka tidak mengizinkan saya untuk hadir lebih
awal," doktor yang merawat Sultan Abdul Hamid sambil berbisik. Nafas
Sultan Abdul Hamid turun naik. Penyakit asmanya semakin serius. Doktor
sudah tidak dapat berbuat apa-apa lagi.
Sultan Abdul Hamid II menghembuskan nafas terakhir dalam penjara
Beylerbeyi pada 10 Februari, 1918. Pemergiannya diratapi seluruh
penduduk Istanbul kerana mereka sudah sedar. Akibat kebodohan mereka
membiarkan Khilafah Utsmaniyyah dilumpuhkan setelah pelucutan jabatan
khilafahnya, 10 tahun yang lalu.
A SHORT MOVIE TELLS YOU THE STORY OF GAZA
Dalam memahami sengketa antara dunia Islam dengan Zionist, kita perlu
memahami perbezaan Istilah yang biasanya merujuk kepada mereka. Perkara
ini penting bagi memestikan kita berhadapan dengan musuh yang
sebenarnya, dan tidak meletakkan permusuhan itu kepada yang bukan musuh.
Ada 4 istilah yang biasanya digunakan untuk merujuk kepada mereka,
seperti berikut:
1. Israel
Israel adalah nama gelaran kepada nabi Allah Ya’qub A.S. Ada yang
menyatakan maksud Israel itu sebenarnya ialah kekasih Tuhan. Perkataan
Israel juga banyak kali digunakan di dalam al-Quran dengan istilah Bani
Israel, dengan merujuk kepada bangsa Israel atau anak-anak dan pengikut
Ya’qub yang beriman dan juga yang kufur dengan ajaran Allah. Justeru,
ramai berpendapat yang perkataan Israel itu lebih merujuk kepada bangsa
mereka secara umum tanpa kaitan dengan agama yang mereka anuti. Ada juga
yang berpendapat bangsa Yahudi sekarang di Palestin tidak layak
menggunakan perkataan Israel sebagai nama negara haram mereka, kerana
Israel itu adalah nama nabi, pemimpin orang yang beriman.
Ada juga pendapat lain yang menyatakan perkataan Israel itu bermaksud
‘kamu mengalahkan Tuhan’, dengan merujuk kepada kisah mengarut mereka
apabila Ya’qub mengalahkan Tuhan bernama Yahwu di dalam satu sengketa.
2. Yahudi
Ada beberapa pendapat mengenai istilah Yahudi ini. Ada
yang menyatakan ianya merujuk kepada anak keempat nabi Ya’qub yang
bernama Yahuza. Raja Nebuchadnezzar II adalah pemimpin kerajaan Babylon
yang mengalahkan kuasa bangsa Yahudi ini yang ketika itu dikenali dengan
nama Kerajaan Yahuza.
Ada yang berpendapat Yahudi itu merujuk kepada pengikut nabi Allah Musa.
Bagi yang percaya dengan kitab Taurat dan Zabur, serta Kitab Talmud
yang dikarang-karut oleh Hakham (pendita) mereka, mereka dipanggil
Yahudi. Semua yang lahir daripada ibu atau bapa berbangsa Yahudi,
dianggap Yahudi oleh mereka.
Pendapat lain menyatakan yang Yahudi itu merujuk kepada keluarga Hud,
yang merupakan pecahan daripada keturunan Ibrahim. Sebahagian keturunan
Ibrahim percaya dengan seruan Musa yang akhirnya mereka ini menganggap
ianya sebagai agama baru. Ibrahim mempunyai keturunan yang ramai,
daripada anaknya Ismail lahirnya keturunan Arab dan nabi Muhammad,
sementara daripada anaknya Ishaq lahirnya bangsa Yahudi ini.
Banyak kajian mendapati yang perkataan Yahudi ini banyak merujuk kepada
bangsa mereka yang percaya dengan agama mereka yang telah diseleweng.
Ini bermakna, Yahudi lebih merujuk kepada pengikut agama, dan bukannya
sinonim dengan bangsa.
Sebahagian ulamak menyatakan yang di dalam al-Quran, apabila Allah ingin
menceritakan kisah jahat bangsa Yahudi ini, Allah banyak menggelar
mereka dengan perkataan Yahudi. Dan apabila Allah ingin menceritakan
mengenai kisah bangsa ini yang beriman dengan Tuhan mereka, maka Allah
akan gunakan perkataan Bani Israel. Saya dapati yang pandangan ini tidak
tepat seluruhnya, kerana ada juga ayat di mana Allah menggunakan
perkataan Bani Israel merujuk kepada bangsa berkenaan yang mengingkari
ajaran Tuhan, seperti dalam surah al-Ma’idah ayat 78:
لُعِنَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ عَلَى لِسَانِ دَاوُدَ
وَعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ ذَلِكَ بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا يَعْتَدُونَ (٧٨)
Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam
kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa Ibni
Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu
menceroboh.
Walaupun ayat di atas menggunakan istilah min bani Israel - sebahagian daripada
bani Israel – merujuk kepada bangsa Yahudi yang kufur, akan tetapi
Allah tetap menggelar mereka sebagai bani Israel. Saya bersetuju
sekiranya dikatakan kebanyakan ayat dalam al-Quran yang melaknat bangsa
Yahudi menggunakan kalimah Yahudi, tetapi tidak semua.
3. Hebrew
Di dalam bahasa Arab, ianya dikenali dengan perkataan Ibrani. Asal
perkataannya bermaksud menyeberang, kerana orang Yahudi mengikut sejarah
dikenali sebagai bangsa yang berpindah-randah dan menyeberangi sungai.
Contohnya, nabi Allah Ya’qub menyeberangi Sungai Furat, dan juga nabi
Allah Yusuf dan nabi Allah Ibrahim A.S, semuanya terkenal dengan kisah
berpindah randah dari satu tempat ke tempat yang lain.
Sebahagian golongan sekular bangsa ini lebih menggelar diri mereka
dengan istilah Hebrew, kerana bagi mereka Hebrew adalah nama lama
sebelum lahirnya agama Yahudi.
4. Zionisme
Propaganda Zionist untuk membina Temple of Solomon di atas runtuhan al-Aqsa
Zionisme adalah berasal daripada perkataan Bukit Zion, merujuk kepada
tapak paling suci di dalam agama Yahudi. Mereka percaya di Bukit Zion
itulah tapak sebenarnya Temple of Solomon (Haikal/Kuil Sulaiman). Tapak
itu sekarang ialah betul-betul di Dome of The Rock (Qubbah al-Sakhrah)
yang merupakan sebahagian daripada Masjid al-Aqsa.
Zionisme adalah sebuah pergerakan kebangsaan yang ditubuhkan oleh orang
berbangsa Yahudi. Ianya merupakan sebuah ideologi politik sempit
berasaskan perkauman yang meletakkan sasaran merampas serta menubuhkan
sebuah negara bangsa Yahudi di atas tanah milik rakyat Palestin.
Ditubuhkan pada tahun 1897 di Basel, Switzerland. Dalam persidangan
pertama mereka pada tahun penubuhannya, Theodor Herzl telah dilantik
sebagai pemimpin pertama pergerakan tersebut. Modus operandi utama
pergerakan ini ialah membawa masuk bangsa-bangsa Yahudi dari seluruh
dunia terutamanya dari Amerika dan Eropah Timur, masuk ke dalam negara
Palestin. Mereka akan menggunakan apa sahaja cara, seperti merampas
tanah dan juga perjanjian politik dengan kuasa penjajah, bagi
membolehkan mereka menguasai seinci demi seinci tanah Palestin. Mereka
berusaha untuk menzioniskan atau mengyahudikan identiti kawasan
berkenaan, lalu mengubah demografi tanah suci tersebut.
Islam adalah agama yang membawa rahmat ke seluruh alam.
Sebahagian orientalis dan musuh Islam cuma mewujudkan imej yang
kandungan al-Quran itu menganjur permusuhan mutlak kepada orang Yahudi
dan non-Muslim yang lain. Lalu mereka datangkanlah beberapa potong ayat
atau tafsiran ayat al-Quran, seperti ayat ketujuh daripada surah
al-Fatihah yang menyatakan bahawa orang yang dimurkai itu merujuk kepada
Yahudi, dan orang yang sesat itu merujuk kepada penganut Kristian.
Adalah tidak tepat kalau kita masuk ke dalam jerat musuh ini. Sekiranya
diperhatikan di dalam al-Quran dan al-Sunnah, maka kita akan dapati
bahawa Islam tidak pernah mengajar kita bermusuh secara mutlak kepada
non-Muslim termasuklah juga bangsa Yahudi. Nabi sendiri pernah berkahwin
dengan Safiyyah binti Huyai, seorang puteri kepada pemimpin Yahudi di
Madinah. Islam juga membenarkan kita makan daging sembelihan Yahudi,
menggambarkan betapa rapatnya hubungan kita dengan mereka. Selain itu,
wanita mereka juga boleh dinikahi. Islam juga menganjurkan kita
melakukan urus niaga perdagangan dengan mereka, sehinggakan ada satu bab
khusus di dalam Sahih Bukhari bertajuk ‘Bab Berurusniaga Dengan Musyrik
dan Yahudi’.
Yang menjadi musuh kita, ialah bangsa Yahudi yang memusuhi kemanusiaan.
Yang menjadi musuh kita, ialah bangsa Yahudi yang memandang hina bangsa
selain Yahudi yang dipanggil Goyem oleh mereka. Yang menjadi musuh kita,
ialah bangsa Yahudi yang merampas tanah milik orang Palestin
termasuklah tanah waqaf seinci demi seinci demi cita-cita politik
mereka. Yang menjadi musuh kita, ialah bangsa Yahudi yang menghalalkan
pertumpahan darah orang awam, kanak-kanak, wanita dan orang tua yang
tidak berdosa demi haloba perjuangan mereka. Itulah
yang diperjuangkan oleh pergerakan Zionisme. Kini, simbol Zionisme itu
disemat erat di dalam bendera negara haram Israel. Bukan semua Yahudi
bersama-sama dengan Zionisme. Ramai juga yang menentang Zionisme
terutamanya daripada kumpulan orthodox mereka. Dan bukan semua yang
Zionisme itu adalah berbangsa Yahudi. Di dalam artikel akan datang, saya
akan dedahkah bangsa selain Yahudi yang menjadi pendokong pergerakan
Zionisme, termasuklah daripada orang Islam itu sendiri.
Abū Ĥāmid al-Ghazālī
, (1058-1111) (Bahasa Parsi: ابو حامد محمد ابن محمد الغزالی) yang dikenali sebagai Algazel di Dunia Barat, adalah salah seorang ilmuwan Islam. Beliau juga merupakan seorang wali Allah yang besar dan lebih dikenali umum sebagai seorang tokoh pemikir Islam serta dianggapi sebagai al-mujaddid untuk kurunnya.Nama penuhnya Muĥammad ibn Muĥammad ibn Muĥammad ibn Aĥmad, dan nama gelaran nisbahnya al-Ghazālī aţ-Ţūsī. Nama panggilannya (kunyah)
pula Abū Ĥāmid. Di antara nama-nama gelaran lain yang telah diberikan
kepadanya ialah Ĥujjatul-Islām, Sirāj al-Mujtahidīn dan Zain al-'Ābidīn.
Abu Hamid al-Ghazali dilahirkan pada tahun 450 Hijrah di desa Ghazalah, di pinggir kota Tus, yang terletak pada hari ini di bahagian timur laut negara Iran, berdekatan dengan kota Mashhad, ibu kota wilayah Khorasan.
Keluarga Abū Ĥāmid al-Ghazālī kuat beragama. Ayahnya bekerja menenun kain dari bulu biri-biri.
Hasil tenunan kainnya itu dibawa dari desa Ghazālah ke kota Ţūs untuk
dijual di sana. Walaupun si ayah adalah seorang lelaki yang miskin, dia
juga merupakan seorang yang jujur dan baik hati. Dia suka bergaul dengan
al-'ulamā' dan juga para sufi sambil memetik ilmu-ilmu agama,
serta berbakti dan berkhidmat kepada mereka. Kerana selalu mendampingi
orang-orang yang berilmu dan sering pula mendengar uraian-uraian
daripada mereka, si ayah telah merasa kesan positifnya, lalu berdoa agar
dia dikurniakan seorang anak yang cerdik, berilmu dan juga şāliĥ. Doanya itu telah diperkenankan Lahirlah anaknya yang telah diberikan nama Muĥammad. Pada hari tuanya, Muĥammad ini telah menjadi bukan sahaja seorang şāliĥ, malah telah menjadi seorang guru pula kepada golongan aş-şāliĥīn di zamannya, dan telah dikenali umum sebagai al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī. Ayah Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah meninggal dunia ketika Abū Ĥāmid
al-Ghazālī berumur lebih kurang enam tahun. Setelah ayahnya meninggal
dunia, beliau dan adik lelakinya yang bernama Aĥmad, telah hidup di
bawah asuhan seorang sahabat ayah mereka, seorang mutaşawwif. Si ayah ada mewasiatkan sedikit wang dengan sahabatnya itu bagi
membiayai kehidupan kedua-dua orang anaknya itu. Mereka pun mula belajar
membaca dan menulis daripada sahabat ayah mereka itu. Tetapi, setelah
beberapa waktu berlalu, wang belanja itu telah habis. Maka pada suatu hari, berkatalah si sahabat ayah mereka itu kepada mereka:
"Ketahuilah, telah aku belanjakan segala wang yang telah diwariskan
untuk engkau berdua. Dan aku ini seorang lelaki yang miskin dan sering
berada di dalam kesempitan. Oleh itu, aku nasihatkan engkau berdua
supaya pergi ke Ţūs dan belajar di madrasah
di sana. Engkau berdua boleh menuntut ilmu pengetahuan di sana, yang
dapat mendatangkan kesenangan kepada engkau berdua dan menghasilkan
pangkat yang tinggi".
Madrasah yang dimaksudkan itu ialah sebuah institusi pelajaran yang
diberikan nama al-Madrasah an-Niżāmiyyah. Ia telah diasaskan oleh Niżām
al-Mulk, perdana menteri kepada as-Sulţān Alp Arslān (yang berketurunan Seljuq). Al-Madrasah an-Niżāmiyyah juga turut membiayai makanan, pakaian, dan juga kitab-kitab kegunaan para pelajarnya. Niżām al-Mulk adalah seorang lelaki yang gemar kepada ilmu
pengetahuan dan gemar pula bergaul dengan para cerdik pandai. Dia juga
telah mendirikan beberapa madrasah, yang secara umumnya, dipanggil
al-Madrasah an-Niżāmiyyah, di beberapa tempat lain di dalam empayar
Kerajaan Banī al-‘Abbās (ad-Daulah al-‘Abbāsiyyah) ketika itu, seperti
di Baghdād, al-Başrah, Mosul (Mauşil), Isfahan, Nīsyābūr, Merv, Balkh
dan Herat. Telah bercerita al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī mengenai sebab dia dan adiknya pergi menuntut ilmu:
"Kami telah menuntut ilmu kerana ghairillāh (sesuatu selain
daripada Allah, yakni al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah pergi menuntut
ilmu tidaklah benar-benar ikhlas kerana Allah)... "
Maka berangkatlah dua orang adik-beradik itu ke Ţūs. Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah belajar ilmu fiqh daripada seorang 'ālim yang bernama asy-Syaikh Aĥmad ibn Muĥammad ar-Rādhakānī. Dia juga telah mempelajari ilmu nahu dan ilmu hisab, serta telah berjaya menghafal isi al-Quran. Dia lebih menggemari ilmu-ilmu yang zahir seperti ilmu fiqh, sedangkan adiknya yang bernama Aĥmad itu, sejak masa mudanya lagi sudah mula cenderung kepada ilmu tasawuf. Kemudian, pada tahun 465 Hijrah, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah pergi ke Jurjān (di dalam bahasa Parsi disebut sebagai Gorgān dan kota lama ini terletak lebih kurang 160 kilometer dari Ţūs) dan telah belajar daripada seorang guru yang bernama asy-Syaikh Abū Naşr Ismā‘īl ibn Mas‘adah al-Ismā‘īlī. Ketika sedang belajar di Jurjān, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī
merupakan seorang pelajar yang sangat rajin. Dengan tekun, dia telah
menulis setiap pelajaran yang telah dia pelajari daripada gurunya itu.
Kemudian, dia telah menyalin semula nota-nota itu dan telah
dikumpulkannya di bawah beberapa tajuk yang tertentu. Dia sangat
menyayangi nota-notanya itu. Setelah tamat belajar di Jurjān, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī pun
pulang ke Ţūs pada tahun 470 Hijrah. Dia telah mengikat nota-nota
pelajarannya itu di dalam sebuah bungkusan dan kemudian telah bertolak
bersama sebuah kafilah. Di tengah-tengah perjalanan, kafilah itu telah
ditahan oleh sekumpulan penyamun yang telah merampas harta setiap
anggota kafilah itu. Ketika sampai giliran al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī pula, setiap
barang kepunyaannya telah digeledah dan dirampas oleh kumpulan penyamun
itu. Ketika penyamun-penyamun itu menyentuh bungkusan nota-notanya,
al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah berkata, "Ambillah semua yang engkau
mahu, tetapi jangan engkau ambil bungkusan ini." Penyamun-penyamun itu pula telah menyangka yang bungkusan itu mungkin
mengandungi harta-harta yang amat berharga. Mereka pun membuka
bungkusan itu. Tetapi mereka hanya menjumpai beberapa helai kertas yang
sudah bertulis. Mereka pun bertanya, "Apa ini?" Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah menjawab, "Ini adalah hasil titik
peluhku. Kerananya, aku telah meninggalkan kampung halamanku agar aku
dapat mendengar, menulis dan memperolehi ilmunya." Seorang anggota kumpulan penyamun itu telah ketawa dan telah berkata,
"Bagaimanakah engkau boleh mendakwa yang engkau telah memperolehi
ilmunya? Andaikata kami rampas bungkusan ini, engkau akan kehilangan
ilmunya. Ilmu yang tersimpan di dalam beberapa helai kertas bukanlah
ilmu yang sebenar!" Bungkusan nota-nota itu pun dikembalikan kepada al-Imām Abū Ĥāmid
al-Ghazālī. Kata-kata daripada si penyamun itu telah menyebabkan al-Imām
Abū Ĥāmid al-Ghazālī tersedar dan mengubah cara dia berfikir. Beberapa tahun kemudian, ketika dia mengingati kembali peristiwa ini,
al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah berkata, "Kata-kata daripada lelaki
itu sebenarnya adalah kata-kata yang telah digerakkan (yakni
diilhamkan). Allah telah menggerakkannya untuk berkata dengan
kata-katanya itu, agar aku dapat menerima petunjuk. Apabila aku sampai
semula di Ţūs, aku telah bekerja keras selama tiga tahun, sehingga aku
telah berjaya menghapal segala yang telah aku tulis." Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī juga telah berkata, "Sebaik-baik nasihat
dan teguran yang telah menyebabkan aku mengubah cara aku berfikir,
telah datang daripada seorang penyamun jalanan!"
Ketika berada di Jurjān, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah sempat
bernikah, dan sepanjang hidupnya, telah dikurniakan oleh Allah dengan
empat orang anak, seorang lelaki dan tiga orang perempuan. Tetapi
malangnya, anak lelakinya yang bernama Ĥāmid itu, telah mati ketika
masih kecil lagi. Pada tahun 473 Hijrah, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah pergi ke
al-Madrasah an-Niżāmiyyah di kota Nīsyābūr dan telah berguru dengan
seorang syaikh yang sangat terkenal di waktu itu, bernama asy-Syaikh
Điyā’uddīn Abū al-Ma‘ālī 'Abdul Mālik ibn ‘Abdullāh al-Juwainī. Guru ini
juga dikenali umum dengan nama Imām al-Ĥaramain kerana dia pernah
mengajar di Masjid al-Ĥarām di Makkah dan di Masjid an-Nabawī di
al-Madīnah al-Munawwarah. Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī adalah seorang penuntut yang pintar dan
disayangi pula oleh Imām al-Ĥaramain. Pernah gurunya ini memuji al-Imām
Abū Ĥāmid al-Ghazālī dengan mengatakan bahawa al-Imām Abū Ĥāmid
al-Ghazālī adalah umpama lautan yang tidak bertepi. Ini menandakan
betapa dalam dan luasnya ilmu yang dimiliki oleh al-Imām Abū Ĥāmid
al-Ghazālī. Malah telah dikatakan juga oleh beberapa orang pengkaji
bahawa al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī memiliki darjah kecerdasan yang
sangat tinggi, di paras genius. Di al-Madrasah an-Niżāmiyyah di kota Nīsyābūr, tanda-tanda ketajaman
otak al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī yang luar biasa itu telah mula
kelihatan. Di pusat pengajian tinggi ini, dia telah belajar ilmu-ilmu
agama dan ilmu-ilmu bahasa seperti ilmu fiqh, ilmu usul, ilmu mantiq, ilmu falsafah, ilmu kalam
dan ilmu perdebatan. Semua ilmu-ilmu ini telah dikuasainya dengan
mudah. Dan di sini jugalah, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah mula
menulis kitab-kitabnya yang banyak itu. Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī merupakan seorang ‘ālim yang
gemar mempelajari bermacam-macam jenis ilmu. Ini telah diceritakan oleh
al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī sendiri di dalam kitabnya yang bernama
al-Munqidh Min ađ-Đalāl.
"Sejak aku masih muda lagi, yakni belum pun aku mencapai umur dua
puluh tahun sehingga sekarang, dan kini umurku telah melebihi lima puluh
tahun, aku telah terjun ke dasar laut (yakni ilmu) yang dalam ini.
Tiada aku hiraukan segala kesulitan dan telah aku kumpulkan seluruh
keberanianku.
Setiap jurang aku masuki sehingga aku sampai ke dasarnya. Setiap
kemusykilan aku bongkar sehingga aku temui jawapannya yang jelas. Aku
selidiki setiap kepercayaan dari setiap golongan. Aku korek hingga
sampai ke dasar rahsia tersembunyinya. Ini semua telah aku lakukan agar
aku dapat membezakan di antara yang benar dengan yang palsu, yang sunnah
dengan yang bidaah.
Ketika aku bertemu dengan golongan batiniah, aku telah memeriksa
dengan penuh teliti segala isi ajaran mereka. Ketika aku bertemu dengan
kaum zahiriah pula, aku telah menyelidiki segala isi kandungan dan
selok-belok ajaran mereka. Demikianlah halnya aku teruskan dengan setiap
golongan.
Ketika aku bertemu dengan ahli-ahli falsafah, aku telah bergaul
dengan mereka sehingga aku dapat mendalami cara pemikiran falsafah
mereka. Ketika aku bertemu dengan ahli-ahli ilmu kalam, aku telah
bergaul dengan mereka sehingga aku dapat mengikuti dan menyelidiki
pokok-pokok pegangan hujah-hujah mereka.
Begitu juga apabila aku berdamping dengan para sufi, aku telah
berusaha sehingga aku dapat mengetahui rahsia-rahsia kesufian. Ketika
aku bergaul dengan ahli-ahli ibadat, aku telah mengkaji kesan-kesan amal
ibadat mereka itu. Dan tiadalah aku temui kaum zindiq dan kaum engkar
melainkan aku telah menyelidiki sebab-sebab dan latar belakang yang
telah menjadikan mereka berpegangan demikian.
Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah belajar ilmu tasawuf daripada
asy-Syaikh Abū 'Alī al-Fađl ibn Muĥammad al-Fārmadhī aţ-Ţūsī (dilahirkan
pada tahun 409 Hijrah di Fārmadh, yang terletak di dalam daerah Ţūs),
seorang 'ālim dan faqīh, yang lebih terkenal di hari
tuanya sebagai seorang guru sufi. Di bawah bimbingan gurunya ini,
al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah mengamalkan beberapa latihan rohani,
tetapi dia tidak sempat mencapai tahap kesempurnaan, kerana gurunya ini
telah meninggal dunia pada tahun 477 Hijrah.
Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī juga ada bertemu dan belajar dengan
beberapa orang guru sufi lain, dan salah seorang daripada mereka ialah
asy-Syaikh Abū Bakr Yūsuf an-Nassāj aţ-Ţūsī. Dan di tangan guru sufi
inilah, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah menerima beberapa pembukaan
rohani tambahan, yang tidak sempat diterimanya semasa dia berguru dengan
asy-Syaikh Abū 'Alī al-Fađl ibn Muĥammad al-Fārmadhī. Sebenarnya, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah bertemu dahulu dengan
asy-Syaikh Abū Bakr Yūsuf an-Nassāj aţ-Ţūsī sebelum bertemu dengan
asy-Syaikh Abū 'Alī al-Fađl ibn Muĥammad al-Fārmadhī, dan setelah
asy-Syaikh Abū 'Alī al-Fađl ibn Muĥammad al-Fārmadhī meninggal dunia,
al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah bertemu semula dengan asy-Syaikh Abū
Bakr Yūsuf an-Nassāj aţ-Ţūsī untuk menerima ajaran-ajaran tambahan di
dalam ilmu tasawuf. Seperti keadaan asy-Syaikh Abū 'Alī al-Fađl ibn Muĥammad al-Fārmadhī,
asy-Syaikh Abū Bakr Yūsuf an-Nassāj aţ-Ţūsī pernah berguru dengan
asy-Syaikh Abū al-Ĥasan al-Kharqānī dan selepas itu dengan asy-Syaikh
Abū al-Qāsim 'Abdullāh ibn 'Alī al-Jurjānī pula. Asy-Syaikh Abū Bakr
Yūsuf an-Nassāj aţ-Ţūsī telah meninggal dunia pada tahun 487 Hijrah. Beberapa waktu setelah Imām al-Ĥaramain meninggal dunia pada tahun
478 Hijrah, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah dijemput ke sebuah tempat
bernama al-Mu‘askar untuk bertemu dengan Niżām al-Mulk. Niżām al-Mulk telah banyak mendengar tentang keluasan dan ketinggian
ilmu yang dimiliki oleh al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī. Oleh itu, al-Imām
Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah diraikan sebagai seorang 'ālim yang
besar. Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah tinggal di al-Mu‘askar selama
lebih kurang enam tahun. Dia juga telah ditemukan dengan al-fuqahā' dan para pemuka ilmu yang lain. Semuanya telah mengakui akan keluasan dan ketinggian ilmu al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī. Pada tahun 484 Hijrah, Niżām al-Mulk telah melantik al-Imām Abū Ĥāmid
al-Ghazālī ke jawatan pengetua (atau boleh juga dikatakan jawatan ketua
profesor) di al-Madrasah an-Niżāmiyyah di Baghdād (yang tarafnya sama
dengan Universiti Islam pada hari ini). Ini adalah satu pencapaian yang sangat tinggi, kerana dalam usia baru
tiga puluh empat tahun, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah diberikan
gelaran Syaikh al-Islām, yakni setinggi-tinggi pangkat dari segi akademik dan keagamaan yang rasmi. Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah menjalankan tugas barunya ini
dengan baik. Dia telah menarik perhatian daripada ramai para pelajar,
yang dekat mahupun yang jauh. Nama al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah
menjadi sangat terkenal di waktu itu, sebagai seorang 'ālim yang
sangat fasih memberikan huraian-huraian pelajaran, dan sangat pandai
berdebat dengan hujah-hujah yang jitu, serta sangat luas dan dalam pula
ilmunya. Tetapi keadaan hidup selesa yang penuh dengan kemegahan ini tidak
berkekalan, kerana empat tahun kemudian, pada tahun 488 Hijrah, jiwanya
telah melalui satu perubahan besar. Badan jasmaninya masih sihat tetapi
jiwanya telah bergolak, dalam satu keadaan tertekan yang boleh
diumpamakan seperti air yang sedang menggelegak. Ini telah
menyebabkannya jatuh sakit. Perubahan fikiran dan ledakan jiwa ini adalah berpunca dari satu
kesedaran bahawa selama ini, segala kejayaan yang telah dicapainya,
seperti memegang jawatan pengetua di al-Madrasah an-Niżāmiyyah di kota
Baghdād itu, bukanlah telah dilakukannya dengan ikhlas semata-mata
kerana Allah Ta'ala, tetapi telah juga dicampuri dengan sebab-sebab
duniawi.
Sebuah kitab tulisan al-Ghazālī
Telah bercerita al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī di dalam kitabnya yang bernama al-Munqidh Min ađ-Đalāl:
Telah menjadi nyatalah kepadaku bahawa aku tidak akan mencapai
kebahagian akhirat, melainkan dengan bertaqwa, dan juga mengekang
kehendak nafsu. Dan yang utama sekali ialah memotong tali ikatan hati
kepada dunia, dengan meninggalkan negeri yang penuh tipu daya ini, dan
kembali ke negeri yang kekal abadi. Dan mengadap kepada Allah Ta‘ala
dengan sepenuh hati. Dan ini tidak akan tercapai, melainkan dengan
membuangkan dahulu segala kemegahan dan kekayaan, serta menjauhkan diri
dari segala kesibukan dan tuntutan dunia (al-'alā'iq).
Kemudian aku telah memeriksa keadaan diriku sendiri. Maka aku dapati
rupa-rupanya aku telah terperangkap di dalam jaring pada setiap arah.
Dan apabila aku periksa pula pekerjaanku di dalam memberi kuliah dan
ceramah, rupa-rupanya aku telah berkecimpung di dalam ilmu-ilmu yang
tidak penting, dan tidak bermanfaat di jalan akhirat.
Setelah itu, aku berfikir pula tentang niatku di dalam memberi
kuliah. Nyatalah, aku tidak ikhlas kerana wajah Allah Ta'ala. Malah,
pembangkit dan pendorongku yang sebenar ialah mencari kemegahan dan
kemasyhuran yang luas. Maka, aku pun yakin yang aku sedang berada di
pinggir satu jurang yang merbahaya. Dan aku akan segera terjunam ke
dalam api neraka, melainkan aku perbaiki keadaan diriku terlebih dahulu.
Perasaan jiwanya yang bergolak-golak ini, seakan-akan sedang
meronta-ronta melawan fikiran akalnya sendiri. Dan ini merupakan satu
tekanan jiwa yang amat berat dirasakan oleh al-Imām Abū Ĥāmid
al-Ghazālī.
Sebuah kitab tulisan al-Ghazālī
Telah bercerita lagi al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī:
Tiadalah aku berhenti daripada berfikir akan keadaanku dan jalan mana yang akan aku pilih. Hatiku masih berbolak-balik.
Pada suatu hari, aku telah berazam untuk meninggalkan Baghdād, dan
melepaskan diriku daripada keadaan hidup harian itu. Tetapi, pada
keesokan harinya, aku telah membatalkan keputusan itu. Seolah-olah,
sebelah kakiku telah melangkah ke hadapan, tetapi yang sebelah lagi
telah mundur pula ke belakang!
Di pagi hari, aku telah bertekad untuk menuntut akhirat, tetapi di
petang hari, tentera hawa nafsu telah datang menyerang, dan telah
menghancurkannya. Syahwat dunia telah mengurungku, dan memaksa aku tetap
kekal sahaja di situ, sedangkan suara keimanan telah menyeru kepadaku,
“Kembaralah! Kembaralah! Tiadalah umurmu melainkan tinggal sedikit
sahaja, sedangkan di hadapanmu adalah perjalanan yang jauh. Tiadalah
engkau kumpulkan segala ilmu dan amal melainkan semuanya adalah riyak
dan palsu belaka. Jika sekarang engkau masih belum bersiap sedia untuk
akhirat, bilakah masanya engkau akan bersiap sedia? Jika sekarang engkau
tidak putuskan tali belenggu itu, bilakah masanya untuk memutuskannya?”
Dan ketika seruan seperti ini bangkit, maka azam dan tekadku pun
naik berkobar-kobar, rela menghadapi setiap cabaran dan rintangan.
Tetapi kemudian, datang semula syaitan dan berbisiklah dia, “Ini
adalah satu perkara yang mengganggu-ganggu sahaja, jika engkau menyerah
kepadanya. Biarkan sahaja. Ia akan hilang dengan segera. Jika engkau
turuti ajakannya, lalu engkau tinggalkan pula segala kemegahan pangkat,
serta keadaan yang baik ini, yang bebas daripada sebarang kesulitan,
serta keadaan aman sejahtera yang bersih daripada perselisihan dan
permusuhan, dan jika engkau turutinya, engkau akan menyesal, dan engkau
akan menanggung kesukaran. Engkau tidak akan dapat kembali kepada
keadaan senang seperti sebelumnya.”
Dan berterusanlah keadaanku ini, di mana aku berada di antara
tarikan syahwat dunia, dan tarikan panggilan akhirat. Ia berpanjangan
selama hampir enam bulan, bermula dari bulan Rejab tahun 488 Hijrah.
Pada bulan itu, aku telah berasa sudah tidak lagi berdaya, tiada
lagi ikhtiarku, terpaksa menyerah sahaja. Allah telah mengunci lidahku,
sehingga aku tidak dapat mengajar. Pada suatu hari, aku gagahi juga
diriku untuk menyampaikan kuliah agar dapat menggembirakan hati para
pelajarku. Tetapi lidahku telah menjadi kelu. Aku tidak dapat
mengeluarkan sepatah kata pun. Benar-benar tidak berdaya.
Dan keadaan bisu ini telah membuatku berdukacita, sehingga telah
menjejaskan kekuatan pencernaan di perutku, dan menyekat makanan dan
minumanku. Roti yang dicecah kuah pun tidak dapat aku kunyah, dan tidak
dapat aku telan makanan walaupun sesuap.
Aku menjadi semakin lemah, sehingga para doktor yang merawatiku pun
telah berputus asa, dan telah berkata mereka, “Perkara in berpunca dari
kalbu. Dari situ, ia telah merebak hingga ke seluruh badan. Dan tiada
cara untuk mengubatinya, melainkan melaluinya juga. Buangkanlah rahsia
yang telah menghasilkan segala duka nestapa ini.”
Akhirnya, setelah menyedari akan betapa lemahnya diriku, setelah
kehabisan segala ikhtiarku, aku pun berserah bulat-bulat kepada Allah
Ta‘ala. Dia telah memperkenankan doaku, kerana Dialah Tuhan yang
memperkenankan doa orang yang terdesak, apabila orang itu berdoa
kepadaNya. Kini, menjadi ringanlah bagi hatiku untuk meninggalkan segala
kemegahan, kekayaan, anak-anak dan rakan-rakan.
Oleh itu, pada bulan Zulkaedah tahun 488 Hijrah, al-Imām Abū Ĥāmid
al-Ghazālī telah meletakkan jawatannya sebagai pengetua di al-Madrasah
an-Niżāmiyyah di Baghdād, dan telah mengambil keputusan untuk
meninggalkan Baghdād dan menjadi seorang pengembara. Dia telah meminta
adiknya, yakni asy-Syaikh Aĥmad al-Ghazālī, mengambil alih jawatannya
itu. Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī kemudian telah mewaqafkan segala harta
benda kepunyaannya, selain daripada sebahagian yang telah diketepikan
untuk nafkah menyara hidup keluarganya, dan juga untuk dibuat bekal
perjalanannya itu. Dan untuk mengelakkan daripada terjadi sebarang syak
wasangka atau kekecohan, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī hanya mengumumkan
yang dia akan berangkat ke Makkah al-Mukarramah untuk menunaikan ibadat
haji. Setelah meninggalkan Baghdād, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī pun menuju
ke Syria dan telah menetap di kota Damaskus selama dua tahun. Dia juga
telah banyak menghabiskan masanya duduk beriktikaf di Masjid Jamik
al-Umawī di kota Damaskus. Ada kalanya dia akan naik ke menara masjid
itu, dan selepas menguncikan pintunya, akan duduk berseorangan diri di
sebuah sudut sepanjang hari. Dan pada hari ini pula, sudut itu telah
diberikan nama panggilan Sudut al-Ghazāliyyah, untuk memperingati tempat
di mana al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī pernah duduk beriktikaf di kala
itu. (Sebelum itu, Sudut al-Ghazāliyyah telah dikenali dengan nama Sudut
asy-Syaikh Naşr al-Maqdisī.)